Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kasih Seorang Lelaki

Cerita ni sis share di sini atas permintaan yang di hantar ke inbox facebook. Maaf la kalau cerita yang sis tulis ni tak best ya, sebabnya sis masih lagi dalam proses pembelajaran. Apapun, moga apa yang sis sampaikan boleh memberi manfaat pada awak semua di luar sana. Ameen...


Aku sudah berkahwin dan di kurniakan seorang cahayamata yang sudah berusia 5 tahun. Setelah berkahwin aku tinggal di rumah sendiri membina sebuah keluarga baru yang harmoni. Kehidupan sebagai seorang isteri berbeza dengan kehidupan semasa masih solo. Contohnya, setiap kali mahu menjejakkan kaki keluar dari pintu rumah, aku perlu meminta izin suamiku terlebih dahulu. Jika tidak mendapat kebenaran, aku tidak boleh melawan.

Inilah perbezaan yang paling ketara di antara suamiku dan ayahku. Bila berhadapan dengan suami, jika dia kata tidak boleh maka aku harus menurut tanpa merungut. Manakala jika berhadapan dengan ayah, jika dia kata tidak boleh, aku akan pujuk sehingga dia kata boleh. Akhirnya jika aku beritahunya mahu ke mana-mana, ayahku bukan setakat membenarkan malah akan turut menghantar dan menjemputku pulang. 

Suami dan ayah, mereka berdua ini sama-sama lelaki tetapi mempunyai status yang berbeza. Sebagai perempuan aku bersyukur di kurniakan seorang ayah yang selalu memanjakan aku dan aku juga bersyukur kerana di kurniakan seorang suami yang cukup bertanggungjawab ke atas diri ku. Malah dia tidak pernah sesekali menjentik aku cuma dia sering menegur agar aku berada di landasan yang betul seiring dengan pesanan ayah padanya sewaktu melafaz akad dan nikah di hadapan ayahku sendiri beberapa tahun yang lalu.

Seperti biasa, aku yang bertanggungjawab untuk menghantar anak ku, Aiman ke tadika. Tadika anakku berhampiran dengan rumah ayah jadi setiap hari aku akan singgah di rumah ayah selepas menghantar Aiman. Hari ini jadual ku agak padat dan kebetulan pula aku harus uruskan sesuatu dengan pihak bank berkaitan hal pinjaman.  Mana mungkin aku hadirkan diri di dua tempat yang berbeza pada satu masa yang sama. Siapa lagi yang boleh menolong aku dengan mudah jika bukan ayah. 

Selepas subuh aku segera menelefon ayah dan seperti yang sudah ku duga, sebaik saja aku menelefon ayah dan memberitahu masalahku.. ayah tanpa banyak fikir terus mengatakan YA. "Tak apa.. ayah tolong jumpa pihak bank bagi pihak adik.... TAPI... janganlah sampai tak datang jenguk ayah pagi ni ya.." kata ayah yang lembut terus melekat di hatiku. Jangan risau ayah, aku tetap akan melewatmu seperti selalu termasuk hari ini. 

"Adik jangan lewat sangat ya... ayah nak siap-siap dah ni. Kejap lagi senang sikit" Ayah bersungguh-sungguh mahu membantuku. Walau sudah berusia 70an namun ayah tetap menggagahkan dirinya untuk anak-anak. Aku selaku anak yang bongsu cukup beruntung kerana sering dimanja ayah dari kecil sehingga kini, walaupun aku sudah bergelar ibu.

Tepat pukul 7pagi, aku gerakkan keretaku untuk menghantar Aiman ke sekolahnya. Jarak rumahku dengan sekolah Aiman dan rumah ayah hanyalah 20minit saja. Sebaik saja sampai di tadika, Aiman mengucup pipi dan tanganku sebelum turun dari kereta. 

"Aiman jangan nakal-nakal ya... hari ni kalau mama tak sempat siapkan semua kerja mama, mama akan minta tok wan datang amik ya." Aiman mengangguk-angguk tanda setuju. Apatah lagi bila ku sebut 'tok wan'(panggilan Aiman terhadap ayahku ), bertambah suka lah dia. Sebut apa saja, tok wan pasti akan belikan. Cakap apa benda, tok wan pasti akan cuba tunaikan demi cucu tersayang.

Masih aku ingat lagi saat aku sakit mahu melahirkan Aiman. Ayah tidak dapat tidur kerana risaukan aku. Ayah sanggup membantu aku menguruskan Aiman dan ayah berkongsi duit dengan ibu untuk menghadiahkan sebuah buaian padaku supaya aku dapat menjaga Aiman dengan lebih mudah. Buaian yang ayah beli bersama ibu itu masih ku simpan hingga ke saat ini. Walaupun aku tidak terlalu obses untuk membiasakan anakku dengan buai namun buaian itu akan tetap ku simpan buat selamanya.

Aku segera gerakkan kereta ke rumah ayah. Dari jauh suasana rumah ayah tampak sangat tenang. Aku berselisih dengan salah seorang jiran ayah. Mukanya muram. Aku menegur tapi dia sama sekali tidak membalas teguran ku. 

Aku parkir kereta bersebelahan dengan van ayah. Van ini ayah beli masa aku berusia 6 tahun. Masih aku ingat lagi ayah membawa ku ke Alor Setar tanpa di temani ibu. Kami ke kedai kereta secondhand dan ayah menyuruh aku memilih salah sebuah van yang terdapat di situ. Van inilah yang ku pilih. Hingga sekarang ia masih elok dan bersih di jaga ayah. Van ini sudah menjadi sebahagian dari darah dagingku kerana jasanya yang tidak terhingga bersama ayah. Dengan van ini ayah menghantar dan mengambilku dari sekolah sejak aku tadika hingga sekolah menengah dan van ini jugalah yang menghantar aku buat pertama kali nya ke rumah mertuaku di Kelantan. Ayah sendiri yang memandu van ini dari Perlis ke sana. 

Aku memanggil ayah. Tiada sahutan. 

Aku membuka kasut tumit tinggi ku dan melangkah masuk bermula dengan kaki kanan. Belum sempat ku hulurkan kaki kiri, aku terpaku!

Di tengah ruang tamu, aku lihat sekujur tubuh di liputi kain putih ihram yang di gunakan ayah semasa dia tunaikan haji beberapa tahun yang lalu. Emak yang sedang menangis meluru ke arahku. Tubuhku di peluknya erat.

"Adik... ayah dah tak ada! Ayah dah tinggalkan kita" Aku sama sekali tidak memandang wajah emak. Mataku hanya terarah ke tubuh ayah yang kaku. Tiada setitik pun airmata yang tumpah ke pipiku. Aku seolah-olah sebuah patung yang tidak bernyawa. Perginya ayah membawa bersama perasaanku. Aku cuba untuk menangis namun airmataku tetap tidak mahu tumpah ketika itu. Terdetik di hati, kenapa aku tidak boleh menangis? Bukankah aku sangat-sangat sayangkan ayah?

Emak yang hampir pengsan aku tenangkan. Entah dari mana aku mendapat kekuatan hinggakan aku dapat berfikir secara rasional dan menghubungi semua saudara dan kenalan ayah. 

Dalam masa beberapa jam sahaja, rumah batu yang ayah bina sendiri dengan tulang empat keratnya ini sudah di penuhi oleh ramai orang. Yang hadir bukan saja terdiri dari jiran sekampung dan saudara mara malah sahabat-sahabat ayah dari pelbagai lapisan umur. Ayah yang mudah mesra sangat suka bergurau dan seringkali mengajak kenalan nya datang ke rumah. Mungkin sebab itu semasa hari 'pemergian' nya ini ramai yang tidak mahu terlepas untuk mengucapkan selamat tinggal.

Aku duduk bersila menemani ayah sambil memangku Aiman. Ku selak helaian Yassin untuk di hadiahkan pada ayah. Saat ini secara tiba-tiba airmata yang degil untuk keluar tadi mula mengalir menuruni pipi setitik demi setitik. Aiman yang memahami segera menyapu airmataku dengan telapak tangannya yang kecil.

Selesai segala persiapan, aku mengucup dahi sejuk ayah buat kali terakhir. Bukan setakat dahi, aku turut mengucup ke dua belah pipinya sama seperti yang sering aku lakukan semasa hayatnya. Baru kelmarin aku bergurau dengan ayah.. "Ayah! cukurlah misai ni.. sakitlah dok cucuk pipi adik." Ayah hanya tersenyum. Tetapi hari ini, misai yang sering menyucuk pipiku ini semuanya sudah 'tidur'. Ketika mengucup pipinya tadi, misai itu sangat lembut seperti rambut bayi yang baru lahir. 

Setelah selesai menyempurnakan jenazah ayah. Aku dan adik beradik yang lain mula berkumpul di ruang tamu bersama emak. Emak ceritakan pada kami, selepas bercakap dengan adik (aku) di telefon.. ayah seperti biasa keluar sekejap untuk menyiram pokok-pokoknya. Ayah berhenti di hadapan pagar dan merenung lama ke arah pokok bunga melur. Emak terus ke dapur untuk menyiapkan sarapan.

Bila emak keluar, emak dapati ayah sudah rebah ke tanah. Emak pangku ayah dan ayah mengucap dua kalimah syahadah di atas pangkuan emak sendiri. Emak memekik memanggil jiran sebelah dan mereka sama-sama mengangkat ayah ke dalam rumah. Beberapa saat kemudian, adik (aku) pun sampai. Aku benar-benar tidak sangka, suara ayah yang ku dengar pagi tadi adalah untuk kali yang terakhir.

"Janganlah sampai tak jenguk ayah pagi ni ya" kata-kata ayah itu bermain semula di fikiran ku. Rupa-rupanya ayah menyuruh aku pulang untuk 'menghantarnya' pergi buat selama-lamanya.

[ S E K I A N ]





3 comments for "Kasih Seorang Lelaki"

  1. Allah.. Sesungguhnya tiada ganti pada yang pergi. Takziah sis.. Semoga roh arwah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman..

    ReplyDelete
  2. Semoga roh arwah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman ye sis..

    ReplyDelete