Aku Pernah Jumpa Hantu

16:20

Aku pernah jumpa hantu. Macamana dengan awak pula? Pernah jumpa hantu tak? Walau kita cuba nak elak tapi kalau ketemu juga apa boleh di buatkan sebabnya memang alam ini di huni oleh pelbagai makhluk yang di ciptakan oleh Allah.

Cumanya kalau boleh memang kita nak elak dari bertemu dengan mereka ini, ye lah seram kot.

Suka atau tidak aku punya dua kisah yang melibatkan makhluk halus ni. Pertama masa aku masih di sekolah rendah. Masa tu aku masih mengaji Al-Quran. Rumah tok guru aku mengaji tu tak de lah jauh mana tapi di sebabkan gelap jadi emak aku akan sentiasa datang jemput aku setiap malam. Tapi hendak di jadikan cerita malam itu aku telah nekad dengan penuh beraninya untuk pulang seorang diri. Bertemankan kitab suci Al-Quran yang aku letakkan di dada aku berjalan pulang ke rumah dengan keadaan tenang.

Tapi sebaik saja tiba di rumah, baru saja aku menutup pintu dan belum lagi sempat pintu itu aku kunci, aku terus terdengar suara hilaian ketawa yang amat kuat dari arah hadapan rumah. Apalagi aku pun cepat-cepatkunci pintu dan berlari ke dalam pelukan emak. Saat itu hanya ada aku, emak dan kakak. Ayah dan abangku keluar kerana ada urusan. Kami bertiga terus terdiam. Hilaian ketawa itu cukup nyaring dan kuat. Hilaian ketawa tu berterusan selama hampir 15 minit. Sekejap dengar dari arah hadapan rumah dan sekejap pula dengar dari arah belakang rumah. Ya Allah takut sungguh rasanya masa tu.

Di sebabkan peristiwa itu, aku terus berdoa dalam hati dengan sekuat mungkin. Doaku itu masih aku ingat sampai ke saat ini.

"Ya Allah, aku tak kisah kalau setakat dengar suara ya Allah tapi tolonglah.. tolonglah jangan sesekali kau tunjukkan rupa dia di hadapan aku ya Allah. Aku takutttt..."

Syukur sejak itu aku tak pernah lagi terserempak dengan makhluk yang di panggil hantu ini. Namun pada tahun 2003 aku sekali lagi mengalami satu peristiwa yang melibatkan makhluk sebegini.

Pada tahun tersebut, aku tinggal di kawasan perumahan flat di Kajang. Suami aku masih lagi berkerja sebagai technician di sebuah kilang dan suami aku berkerja shift malam sahaja. Maka saban malam aku dan anak sulungku yang baru berusia 4 bulan akan tinggal berdua. Aku tak takut sebab kawasan tu ramai orang.

Hari yang kami lalui biasa saja sehinggalah pada satu hari aku dapati banyak ada beberapa helai baju anak aku yang telah hilang. Kalau hilang di jemuran aku tak pelik tapi ini hilang dari dalam almari. Siapa yang ambil sedangkan dalam rumah ini hanya ada kami bertiga?

Semakin hari semakin pelik sehinggalah aku dapati anak aku ni sudah tidak mahu tidur di waktu malam. Bila tiba waktu malam mata dia segar bugar dan seronok. Bermain dan ketawa seorang diri tanpa menangis sedikit pun. Walau sudah pukul 1 ke 2 pagi namun dia masih lagi berasa tidak mengantuk. Bila hampir subuh barulah dia akan terlelap. Hari demi hari berlalu tapi anak aku masih sama macam itu juga sehinggakan rutin tidur nya dah mula berubah. Pakaiannya juga semakin hilang.

Aku dah berasa semakin pelik lalu aku telefon dan maklumkan pada emak. Aku tak tahu bagaimana emak cari penawar cuma yang aku masih ingat emak kirimkan beras dan kunyit melalui pemandu bas ekspress. Hari itu juga aku dapat barang yang di kirim emak dan emak meminta aku taburkan di sekeliling bahagian dalam rumah.

Syukur alhamdulillah malam itu anak aku tidur awal dalam keadaan yang cukup nyenyak dan pada malam itu juga aku dapat sahkan yang anak aku benar-benar telah di ganggu oleh makhluk halus ini. Pada malam tersebut langsir yang aku pasang di pintu bilik (pintu aku tak tutup) telah tersingkap dengan sendirinya ke atas. Setelah langsir itu tersingkap kelihatanlah satu makhluk kecil seperti bayang-bayang berjalan masuk ke bilik. Aku melihat semuanya dengan jelas kerana lampu di luar bilikku sengaja tidak aku tutup. Aku hanya tutup lampu di dalam bilik saja kerana anak aku tidak boleh tidur dalam suasana terang. Aku terus mengiring ke kiri dan mendakap anak aku itu dengan kuat. Tangan kiriku merangkul erat anak kesayangan dan saat itulah aku dapat rasakan ada angin melintas di atas tangan kiri ku ini. Tangan kiri aku bagaikan di hembus oleh sesuatu secara sepintas lalu.

Entah pukul berapa aku terlelap pun aku tidak tahu. Yang pastinya pada malam itu aku telah bermimpi. Di dalam mimpi tersebut aku sedang berada di dalam sebuah kantin yang bersih dan berwarna putih. Kantin itu ada ramai orang dan kesemuanya berpakaian serba putih. Aku juga berpakaian serba putih dan duduk seorang diri menjamah makanan di salah sebuah meja panjang di dalam kantin tersebut.

Tidak berapa lama kemudian aku di datangi oleh sekumpulan perempuan dan salah seorang daripadanya memperkenalkan dirinya kepadaku sebagai Julia. Julia sangat cantik. Orangnya tinggi lampai, berkulit kuning langsat dengan rambut lurus yang panjang mencecah pinggang.

Setelah menyapa aku dengan cara baik dia terus bertanya,

"Kalau saya nak minta izin untuk berkawan dengan Ariff boleh tak?" soalnya. Aku terus mengangguk dan menjawab, "Kawan aje lah."

Kemudian si Julia ini menambah... "tapi.... saya mati dah" Apalagi aku terus tersentak! Air liur aku telan tanpa sedar. Aku tak tunggu lama dan terus menjawab "Maaf lah kalau macam tu saya tak boleh izinkan sebabnya kita dunia lain-lain"

Julia berkata pula, "Tak apalah kalau macam tu tapi jaga Ariff baik-baik ya" Julia pun terus berlalu pergi dengan sahabat-sahabatnya dan aku pun terus tersedar dari tidur. Aku pandang ke kiri dan mujurlah anak aku masih lagi tidur dengan nyenyak.

<< Anak sulungku ketika berusia 4bulan dan di rumah itulah kami mengalami perkara tersebut.


Aku ceritakan pada suami dan emak. Emak beritahu yang dia dapat tahu bahawa anak aku Ariff di ganggu oleh toyol. Toyol tersebut datang ke rumah aku kerana di arah oleh tuannya supaya mengambil pakaian Arif. Pakaian itu di masukkan ke dalam air masak yang akan di gunakan untuk menyediakan minuman pada para pelanggan. Tujuannya untuk di jadikan pelaris. Sebagaimana orang lain suka pada anak aku maka sebegitu jugalah orang akan suka pada kedainya.

Cuma yang menjadi masalahnya ketika itu, tuan 'Julia' hanya memintanya untuk mencuri pakaian tapi si Julia ni telah tersuka pada anak aku dan dia datang berkali-kali semata-mata untuk bermain dengan anak aku.

Aku memang amat bersyukur perkara itu dapat selesai. Terus terang aku juga bersyukur kerana Allah masih lindung aku dengan memberikan jawapan yang tepat ketika sedang berdepan dengan Julia di dalam mimpi.

Demi Allah ini adalah kisah benar dan saat aku menulis entry ini tanganku menggigil-gigil dan bulu romaku masih lagi meremang sampai sekarang. Sebenarnya aku cukup takut nak taip nama perempuan itu kerana aku risau kalau-kalau dia ingat pada aku dan anak aku semula. Tapi InsyaAllah tak ada apa-apa kerana kejadian ini sudah lebih dari sepuluh tahun dan aku juga sudah lama tidak menetap di kawasan itu lagi.

Kalau tak silap toyol ni adalah kanak-kanak yang meninggal semasa kecil kan? Jahatnya manusia yang tak reti nak meminta rezeki hanya dengan cara berdoa pada tuhan

You Might Also Like

12 comments

  1. Ana dah beberapa kali alami. Dari yang biasa sampai lah yang extrem. Hari2 doa semoga di jauhkan dr syaitan dan jin2 ni. Alhamdulillah skrg jarang dah kena. Kalau sekadar hinggap tu adalah. Tp kejap je. =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. sekadar hinggap?? kena tindih tu ya?

      Delete
  2. CCL pun pernah jumpa ..sekali seumur hidup

    ReplyDelete
  3. Eyy fae tak nak jumpa hantu. Penakut level kronik fae ne..

    ReplyDelete
    Replies
    1. tak nak pun kalau dia datang jugak, macam mana fae? :D

      Delete
  4. Saya ada kisah mengenai toyol. Masa tu kami masih bersekolah (kecik2 lagi). Duit abah selalu hilang dari dompet, tak hilang semua, tapi hilang sekeping, sekeping. Abah mengadu dengan kawan dia, so kawan abah cadangkan letak dompet dalam tin biskut tapi jangan bagitahu sesiapa.

    Kami semua tidur kat ruang tamu masa tu (maklumlah kecik lagi hahah berderet 6 beradik). Adik saya yang berumur darjah dua terbangun sebab ada orang kejut dia, dia cakap budak tu kecik je, pendek. Dia tanya adik saya,

    "Macam mana nak buka tin bawah meja tu?"

    Adik saya tak nak cakap kat dia. Dia marah tapi dia tak buat apa-apa, cuma berlari keliling adik saya tanda protes. Pastu adik saya sambung tidur, dia cakap dia pelik,tapi dia tak rasa takut.

    Esoknya adik tanya abah saya, kenapa ada budak tanya yana macam mana nak buka tin bawah meja tu sebab adik tak tahu menahu ada apa dalam tin tu. Abah tengok mak, mak tengok abah. hahahahaha. Saya time tu dah besar sikit, mak cerita kat saya semuanya. Hahahaha.

    ReplyDelete
    Replies
    1. mak ai. lagi seram kalau kena kejut macam tu. Tapi tu la toyol ni budak je kan

      Delete
  5. Seram juga pengalaman ni... takut baca

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe.. ni mesti belum pernah jumpa ni :D

      Delete
  6. busyra tak penah lg la nmpak. mintak dijauhkannnn. huhu takut pengsan pulak nnti. tp kalau dngar tu penah la. huhu

    ReplyDelete
  7. saya pernah sekali ternampak masa saya kanak-kanak dulu. mintak dijauhkan la. tak nak dah nampak. seram.

    ReplyDelete