Sebab Mengapa Allah Berikan Aku Ujian!

12:39



Kelmarin aku sudah cerita serba sedikit tentang kisah hidup aku kan? Aku telah di datangkan ujian oleh Allah secara tiba-tiba dan telah aku katakan yang Allah swt turunkan ujian ini untuk aku supaya aku segera sedar dan insafi diri.

Pasti kalian nak tahu apakah peristiwa yang telah berlaku hingga aku perlu insaf kan? Sebenarnya aku pernah 'terlupa' kerana terlalu taksub akan rezeki Allah yang melimpah ruah. Sepatutnya aku kena ingat yang semua rezki datangnya dari Dia tapi aku alpa. Aku semakin taksub mahu berusaha kerana mahu lebih berjaya dan berjaya hingga terleka dengan kemewahan dunia.

Ya, aku pernah kaya!

Walau aku dan Qamar berkahwin tanpa sebarang harta namun aku telah berjaya membina empayar aku sendiri selepas itu. Segalanya hanya bermula secara kecil-kecilan dan secara tiba-tiba untung mula datang mencurah-curah. Walau masa tu aku tidak lah sekaya Dato Vida tapi cukuplah kalau aku katakan aku boleh spend sebulan RM5,000 hanya untuk perkara yang tidak terlalu penting tanpa ada apa-apa masalah. Mungkin ada yang akan terfikir, beli apa lah sampai sebulan RM5,000 tapi kalau duit berada di dalam tangan setakat RM5,000 sebulan tu bukanlah satu perkara yang besar. Aku boleh habiskan duit sebanyak tu dengan holiday, beli baju berjenama pada anak-anak, penuhkan troli di pasaraya, makan makanan yang high class di restoran terkenal, aku boleh beli gadget terbaru di pasaran dan aku juga boleh upgrade kereta kesayangan. Tak pun beli barang kemas. Dengan ada duit di tangan apa saja yang terlintas aku boleh terus realisasikan tanpa ada sebarang keraguan.

Tika senang....
  • aku rasakan masa 24jam ini cukup singkat sampaikah aku tidak cukup masa
  • aku tidak punya waktu yang secukupnya untuk suami dan anak-anak
  • kami lebih banyak makan di luar dan anak-anak jarang dapat nikmati airtangan ibu
  • kami lebih banyak masa dengan gadget 
Syukur alhamdulillah.. Allah swt masih sayangkan aku. Semakin anak-anak membesar semakin aku terfikir sampai bila aku harus begini? Apakah kekayaan yang ada akan aku bawa bersama ke dalam kubur kelak? Biarlah orang melihat aku hanya seorang surirumah yang tidak ada apa-apa keistimewaan asalkan hati aku tenang, bahagia dan gembira. Terasa betapa bodohnya aku membuang masa demi mengejar kebanggaan dunia seperti sebelum ini!! Huh...

Aku renung semula baju yang mahal-mahal.. semakin hari baju semakin mengecil sedangkan tubuh anak-anakku semakin hari semakin membesar, hmmm... sayangnya baju-baju tersebut, beli mahal-mahal tapi lebih banyak terperap di dalam almari. Alangkah bagusnya kalau duit tersebut aku dermakan ke masjid. Bodoh!! Aku memang bodoh!! 

sebahagian dari koleksi baju Poney my baby yang masih boleh di katakan 'baru'. Hanya sempat pakai beberapa kali saja pastu dah tak muat. Dah beli size yang lebih besar dari anak cumanya tak sempat nak pakai semuanya sekali. Sayang kan?

Akhirnya aku nekad. Aku sudah tidak mahu terlibat dengan mana-mana perkerjaan yang memerlukan aku untuk keluar ke sana ke mari. Cukuplah aku menjadi seorang surirumah sepenuh masa. Walau aku sudah tidak boleh melaram macam dulu tapi sekurang-kurangnya aku dapat kumpul pahala untuk memberi khidmat pada amanah-amanah Allah yang telah diberikan kepada aku. Apa yang aku tahu aku hanya mahu terus berjaya untuk menjadi seorang isteri, ibu dan anak yang baik. Aku tidak mahu mati di dalam keadaan yang tidak sepatutnya. Aku mahu mati menghadapNya semula sebagai seorang muslimah.

Walau aku tidak boleh menjadi seorang muslimah yang terlalu baik 100% tanpa sebarang dosa tetapi setidak-tidaknya aku telah insaf dan makin berubah dari hari ke hari. Aku juga mula labuhkan tudung dan pakaian serta semakin menutup aurat dengan mengenakan stokin. Aku tidak mahu lagi berusaha menjadi seorang wanita berkerjaya yang berjaya tetapi aku mahu berusaha menjadi seorang hamba Allah yang lebih merendah diri.

Siapa sangka siapa menduga, setelah aku lepaskan perniagaan, kami sekeluarga hilang terus punca pendapatan. Bukan hanya aku sudah tidak mempunyai income seperti dulu malah suami aku juga turut tidak punya punca pendapatan lagi. Saat itu kami benar-benar terdesak namun untuk terus mengaku kalah tidak sesekali! Mujurlah sebelum berhenti aku sudah prepair emergancy money untuk cover hidup kami selama beberapa bulan.

Mungkin Allah sengaja mahu uji aku untuk melihat sama ada aku akan kembali berniaga seperti dulu berkejar masa ke sana ke mari tapi ternyata aku sudah tidak mahu memandang apa yang telah aku tinggalkan dulu. Aku benar-benar telah nekad taubat nasuha! Walau ada di kalangan rakan-rakan yang aku kenal semasa berbisnes datang menawarkan aku pekerjaan dengan gaji yang amat lumayan tapi tawaran mereka aku tepis dengan terang dan tenang wlau hakikatnya aku sedang kesempitan duit. Aku lebih rela menjual semua barang kemas di badan dari kembali ke dunia bisnes yang pernah membuat aku terlupa. Sungguh!! Aku sudah tidak berminat untuk menjadi seorang wanita korporat lagi. Biarlah aku di rumah hanya berkain batik lusuh asalkan hati aku gembira di samping suami dan anak-anak. Aku juga lebih punya masa untuk duduk menghadapNya tanpa ada sebarang gangguan masa. Sekarang aku rasakan tempoh 24jam cukup berbaloi untuk aku gunakan walau dulu seringkali aku sebut tempoh 24jam ini amatlah terlalu pendek.

Dari sebuah keluarga yang tahap ekonominya tinggi sehingga menjadi sebuah keluarga biasa yang perlu berjimat cermat tapi aku sentiasa yakin akan rezeki Allah SWT. Aku yakin Allah pasti akan berikan apa yang terbaik bila tiba masanya yang tepat. Apa yang perlu aku buat hanyalah berusaha sedaya yang aku mampu tanpa melupakan Dia.

Setiap kali solat aku jadi takut untuk meminta Allah memurahkan rezekiNya pada aku kerana aku takut jika Allah turunkan sekali lagi rezekiNya yang terlalu melimpah ruah hingga aku jadi lupa arah semula. Dek kerana itu aku lebih suka memanjatkan doa dengan menanamkan keyakinan bahawa Allah sentiasa ada bersama aku dan sentiasa di sisi aku setiap masa untuk memberikan apa yang terbaik untuk aku dan keluarga.  Tetapi seandainya sudah tertulis yang Allah akan beri sekali lagi rezekiNya yang terlalu melimpah ruah seperti dulu, InshaaAllah kali ini aku akan gunakan dengan cara yang lebih diredhai kerana aku sudah sedar diri. Tetapi suka untuk aku katakan yang aku belum rasa betul-betul kuat untuk menempuh ujian kekayaan sekali lagi. Biarlah aku terus muhasabah diri dulu untuk lebih memperkuatkan benteng di dada :)

Berada di rumah sepenuh masa membolehkan aku menghabiskan masa melakukan hobi yang aku minati. Tak perlu lagi aku stress menghadap kerja yang menimbun dan terkejar-kejar masa seperti dulu. Oh! Alangkah seronoknya...

Kini aku bukan lagi siapa-siapa. Saat ini aku hanyalah seorang insan biasa yang bernama Siti Awadah. Aku bukan lagi berkerja setiap masa di atas kerusi yang empuk, aku juga bukan lagi insan yang perlu bergegas ke sana sini jumpa client, aku sekarang hanyalah seorang surirumah yang hanya bert-shirt biasa memasak mengemas dan uruskan suami serta anak-anak. Jika dulu sebelum keluar harus berdandan untuk meyakinkan client tapi kini aku hanya berdandan untuk suami tercinta sahaja semata-mata.Setiap kali suami pulang dari kerja aku akan pastikan makanan sudah terhidang untuknya di atas meja. Senyuman suami dan anak-anak adalah 'ubat' jiwa yang amat mujarab untuk memberi aku kekuatan.

Aku tidak cakap semua orang kaya itu seperti aku dulu. Aku sendiri yang silap masa tu sebab membiarkan diri aku semakin hanyut dengan kesenangan dunia. Aku tidak sedar yang tatkala itu Allah sedang menguji aku. Sepatutnya kekayaan itu aku salurkan ke jalan yang lebih diredhai dan mengambil peluang itu untuk mengumpul saham akhirat tetapi betapa bodohnya aku kerana lupa dan alpa. Suami sering menegur apabila dia melihat aku terlalu sibuk dan boros namun aku membalas dengan memberi seribu satu alasan.

Anak sulung aku pernah berkata... "Mama.. nanti kita mati Allah akan tanya, semua harta yang di beli untuk apa? Nanti macamana kita nak jawab dengan semua ni mama?" Saat itu airmata aku menitis.

Bagaimana aku nak jawab di depan Allah tentang semua harta yang di beli? Baju yang tidak tutup aurat sepenuhnya sebagai contoh. Atas alasan apa aku membeli baju tersebut? Apabila aku tanyakan pada diri sendiri kenapa harta itu di beli, aku sendiri tidak tahu sebab musababnya  dan sudah tentu aku juga tidak punya alasan untuk di kemukakan di depan Allah kelak. Duit yang hadir adalah rezeki dari Dia tapi di belanjakan untuk perkara yang tidak sepatutnya. Membazir mengikut perangai syaitan dan semua harta itu berkumpul atas dunia menunggu aku memberi penjelasan kelak. Mampukah aku menjelaskan ke semuanya nanti? Kerana itu aku nekad untuk melepaskan ke semuanya. Biar orang kata aku jatuh bankrup asalkan aku dapat menyuci semuanya sebelum mata aku tertutup rapat.

Oleh itu, bagi mereka-mereka yang punya matlamat mahu terus kaya dan berjaya, hanya satu nasihatku... janganlah sesekali di lupa bahawa setiap rezeki itu adalah daripada Dia Yang Maha Kuasa. Memang kadangkala kita rasakan betapa mudahnya menjemput rezeki sehingga boleh jadi melimpah ruah tetapi ingatlah..... jangan takbur!! Jangan juga update di status facebook dan lain-lain mengajak orang lain menjemput rezeki dengan mudah seolah-olah kita ini punya kuasa untuk memberi rezeki pada orang lain. Hello brother! Hello sister! Rezeki bukan dari kita tapi dari Dia yang sedang melihat dari atas sana. Kita akan mati dan kematian itu bukan hanya hadir apabila kita sudah di ambang usia. Jangan saat alpa mengejar kemewahan itu ajal tiba membawa kita pergi tanpa sempat untuk menginsafi diri. Kekayaan dunia belum mampu untuk menjamin kita lepas dari api neraka Allah yang maha dasyat. Aku bukan perfect tapi aku bersyukur kerana Allah memilih untuk memberi hidayah pada aku supaya segera bertaubat.

Aku tak nafikan ada wanita yang mampu berjaya menjadi seorang wanita berkerjaya dan dalam masa yang sama taat pada Allah, suami dan keluarga tapi aku tidak terlalu kuat untuk jadi sebegitu. Kerana itu aku memilih untuk tinggalkan segalanya. Walau berjaya di mata orang lain tapi jika hati aku tidak tenteram jadi mengapa harus aku teruskan juga? Biarlah aku tidak sekaya dulu asalkan aku boleh semakin dekat dengan Yang Maha Pencipta.

Kekayaan itu satu ujian!
Kemiskinan itu satu ujian!
Kesakitan itu satu ujian!
Kesenangan itu satu ujian!
Anak, suami, isteri juga satu ujian!

"Ya Allah Ya Tuhan kami... Kau lindungilah diri kami dan Kau berikanlah kami hidayah untuk terus tunduk kepadaMu... Ya Allah Ya Tuhan kami, janganlah Kau lalaikan kami dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya...Ya Allah Ya Tuhan kami, berkatilah kami supaya kami boleh mati sebagai seorang Islam. ameen..."

KINI AKU BAHAGIA & GEMBIRA! HIDUP PENUH DGN SENYUMAN DI SAMPING KELUARGA & RAKAN-RAKAN YG AMAT MEMAHAMI :D no stress at all!! yahoo...

You Might Also Like

5 comments

  1. insyaAllah sis Awa .. Allah takkan uji hambaNya diluar dugaan .. sis kuat Allah pilih sis untuk hadap masalah macam ni .

    ReplyDelete
  2. Apa sahaja yang Allah turunkan kepada kita, ianya adalah ujian dan memerlukan 'kemahiran' untuk kita tangani agar tidak menjadi halangan untuk kita mengejar firdausi...

    ReplyDelete
  3. sy jenis yang suka membeli juga dulu2. tapi sekarang, sebelum membeli mesti akan berfikir panjang... untuk apa dibeli, berapa kali kegunaan, berapa lama boleh guna, penting sangat atau x dalam hidup. tapi kalau bab makanan, memang hangusss. susah nak lawan nafsu :'p

    ReplyDelete
  4. ALLAH...BESARNYA DUGAAN ...AKK PUJI SANGAT...BUKAN SEMUA ORANG RELA MELEPASKAN APA YANG DIMILIKI TAMBAH LAGI KESENANGAN HIDUP..SEBAB KITA BERJUANG UNTUK KESENANGAN HIDUP...SEMOGA HAWA DAN KELUARGA AKAN SEMAKIN AKRAB DAN MENYAYANGI SATU SAMA LAIN HINGGA KE JANNAH...

    ReplyDelete
  5. Thanks for sharing this..
    Nampaknya, ada juga persamaan kita ttg kehidupan ini..
    Dan akhirnya, mrs pip juga memilih utk jadi surirumah..
    Rezeki itu pasti ada, dan dtg dari Allah ...
    Semoga Awa sentiasa murah rezeki :))

    Cheers.

    ReplyDelete